Mengapa soal hati sangat penting? Hati adalah kuasa penggerak dalam diri manusia. Jika hati dikuasai kebenaran, nescaya ia akan menjana kebaikan. Sebaliknya, jika hati dipenuhi kebatilan, ia akan melahirkan kejahatan. Hati yang
dipenuhi kebaikan dan kebenaran ialah hati yang
berkualiti. Ia mampu menghadapi apa juga cabaran atau masalah dalam hidup. Manakala hati yang
dikuasai kejahatan dan kebatilan ialah hati yang
lemah. Ia akan goyah menghadapi masalah dan cabaran dalam hidup
Apabila hati tidak berkualiti, segala yang dilihat, difikir, dirasa dan dibuat serba tidak kena dan tidak puas. Yang kaya, berkuasa dan ternama akan terus memburu kekayaan, keseronokan dan hiburan sehingga sanggup menempuh jalan yang salah untuk mencapai maksud yang tidak pernah puas. Mereka ini umpama meminum air laut, makin diminum semakin haus. Atau memburu fatamorgana – bahang yang sangat panas disangka air.
Lihat sahaja Presiden Hosni Mubarak (Mesir), Zainal Abidin bin Ali (Tunisia) dan terkini Muammar Gaddafi (Libya)
yang tidak cukup-cukup dengan kuasa. Atau Tiger Woods yang tidak cukup-cukup dengan wanita. Hakikatnya, berjaya mencapai kekuasaan, kekayaan, kecantikan dan lain-lain tanpa kualiti hati (iman) hanya akan menjerumuskan manusia kepada rasa kekosongan, kemurungan dan kebosanan. Inilah yang menyebabkan berlakunya perzinaan, rasuah, ketagihan dadah, alkohol dan sakit jiwa dalam kalangan individu-individu yang kaya, jelita, berkuasa dan sebagainya.
Apabila kualiti hati rendah, nikmat yang banyak terasa tidak cukup. Akibat tidak bersyukur, bersabar, qanaah dan redha, diri akan diperhambakan oleh hawa nafsu dan syaitan ke arah kejahatan. Sebaliknya, hati yang kuat mampu mengawal nafsu (kehendak biologi, seksologi dan fisiologi) umpama burung yang menerbangkan sangkarnya. Manakala, hati yang lemah sentiasa terkurung oleh kehendak nafsu, ibarat burung yang terkurung di dalam sangkarnya